Tentang GPMS

MUKADIMAH GPMS

Kami pelajar Melayu yang dijemput oleh Jawatankuasa Sementara GPMS untuk menghadiri Persidangan Penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung di Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1948.

SEDAR atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar Melayu di semenanjung Tanah Melayu
SEDAR akan kemunduran kami di alam pengetahuan
SEDAR atas kewajipan kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa
SEDAR bahawa maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa itu terletak di tangan kami

BERPENDAPAT bahawa GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG wajiblah didirikan dengan tujuan menjaga hak-hak, mengemukakan segala permintaan dan memperbaiki keadaan pelajar-pelajar Melayu dari segenap lapisan.

BERIKRAR “Dengan hati yang suci murni, kami pelajar-pelajar Melayu Semenanjung Tanah Melayu bersatu berdasarkan Keislaman dan Kebangsaan; berjuang dengan berani kerana benar untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa sebagai syarat mencapai kemajuan dan kemuliaan bangsa Melayu”


Moto GPMS
“BELAJAR TERUS BELAJAR”




LOGO RASMI


Logo GPMS adalah berbentuk perisai berwarna hijau yang mempunyai peta Semanjung Malaysia berwarna putih dan tangan yang memegang obor api merah di bahagian tengahnya. Di bahagian bawah terdapat nama GPMS laitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.

Warna putih bermaksud kesucian dan kermurnian hati manakala warna merah menggambarkan kebenaran dan keberanian. Warna hijau menunjukkan kepulauan dan Nusantara Bangsa Melayu yang subur dan kaya-raya.

Tangan bermaksud penyatuan dan keazaman.

Obor dan api menandakan kepentingan ilmu dan pengetahuan dan pelajaran dalam mengangkat kemulian bangsa. Lidah api pecah enam menunjukkan Rukun Iman dan keimanan manakala pecahan cahaya lima membayangkan Rukun Islam. Peta Semenajung menunjukkan gerakan pelajar-pelajar Melayu di Semenanjung Malaysia.

Dengan sepotong ayat lambang GPMS bermakna;
Dengan hati yang suci murni, kami Pelajar Melayu Semenanjung Tanah Melayu bersatu berdasarkan KeIslaman dan kebangsaan, berjuang dengan berani kerana benar, untuk meningkatkan darjat pengetahuan bangsa sebagai syarat untuk mencapai kemuliaan bangsa Melayu.



STRATEGI DAN DASAR PERJUANGAN GPMS SESI 2009 – 2012

1.Hala tuju perjuangan adalah berdasarkan kepada tiga perkara berikut:

i. GPMS memperjuangkan Melayu di atas dasar Non-Partisan
ii. GPMS gedung melahirkan pemimpin negara
iii. GPMS di peringkat cawangan adalah tunggak perjuangan yang akan diperkasakan.

2.Cogan kata yang memperlihatkan kelantangan dan keberanian GPMS ialah:
"GPMS SINGA PERJUANGAN BANGSA"

3.Sebuah Panel Pemikir yang akan memberi idea dan pandangan terhadap fungsi GPMS ditubuhkan khusus dan dianggotai oleh pencinta perjuangan ini yang berumur di atas 40 tahun.

4.GPMS akan memberi fokus utama terhadap pelbagai isu pendidikan yang berkaitan pelajar Melayu melalui kaedah konsultatif dan perbincangan dengan pihak kerajaan. Disasarkan sekurang-kurangnya membincangkan 10 isu setahun sebagai penanda aras.

5.Melantik 6 orang AMT tambahan mengikut komposisi negeri dan 10 orang Pegawai Khas Presiden yang terdiri daripada penggerak muda yang berpotensi bagi membantu Presiden melaksanakan dasar dan strategi ini.

6.Perlembagaan GPMS akan dipinda dengan segera mengikut kehendak ahli dan kepentingan semasa.

7.Menetapkan tempat dan pengerusi Persidangan Agung GPMS untuk tahun 2010, 2011 dan 2012 bagi melancarkan perlaksanaannya dan persediaannya dapat dilakukan dengan lebih awal.

8.Melaksanakan semua usul-usul dalam PAT sebelum ini yang tertunggak beserta usul-usul yang terkini.

9.Biro-biro yang ditubuhkan di dalam GPMS mestilah pelbagai dan terkini menjurus kepada pendidikan.

10.Menginstitusikan jawatan Penaung GPMS kepada Perdana Menteri Malaysia, Ketua Penasihat GPMS kepada Timbalan Perdana Menteri dan panel penasihat mestilah terdiri daripada mantan Presiden GPMS yang masih hidup sebagai penghormatan besar kepada mereka.

11.Dasar media yang telus dan terkawal dengan mandat yang jelas kepada Presiden dan Setiausaha Agung bagi isu di peringkat pusat. Pengerusi negeri dan YDP Cawangan boleh bercakap tentang isu setempat manakala semua ahli yang melaksanakan program boleh mempromosi program di media dengan sebebas-bebasnya.

12.GPMS hanya akan mengeluarkan kenyataan akhbar dan membincangkan isu-isu yang relevan dengan perjuangannya dan mengelakkan diri terutamanya dalam isu yang berkaitan serta berbaur politik bagi mengekalkan matlamat penubuhan GPMS.

13.GPMS akan menubuhkan GPMS Holdings Sdn. Bhd. dan Tabung Amanah Pelajar 1Malaysia untuk mendapatkan dana bagi membiayai pentadbiran dan aktiviti. Memeterai beberapa Memorandum Persefahaman dan Perjanjian yang dapat memberi manfaat kepada GPMS dan pelajar Melayu amnya.

14.Program Kad Keahlian GPMS akan diperkemaskan segera dan mensasarkan 50,000 keahlian baharu pada setiap tahun 2010, 2011 dan 2012.

15.Menjadikan Ibu Pejabat GPMS Kebangsaan dan Pejabat GPMS Negeri di seluruh negara sebagai Pusat Khidmat Pendidikan Pelajar Melayu.

16.GPMS Negeri dibenarkan bekerjasama dengan kerajaan negeri masing-masing tanpa mengira parti demi kepentingan pelajar Melayu.

17.GPMS akan mengadakan pelbagai kunjungan hormat bertemu pemimpin dan pencinta perjuangan Melayu demi mendapatkan ilmu serta pandangan yang bermanfaat.

18.Menggalakkan lawatan ilmiah ke luar negara bagi mendapatkan idea dan pengalaman baru. Di samping itu dapat mengadakan perbincangan dengan pelajar Malaysia di sana untuk menerangkan isu-isu semasa.

19.Program Sembang Intelektual / Kunjungan Hormat bersama tokoh dalam formulasi Strategi Melayu akan diperbanyakkan.

20.Berusaha mendapatkan Pingat Kebesaran dari YDPA untuk bekas-bekas Presiden dan Setiausaha Agung GPMS yang masih hidup sebagai tanda penghargaan terhadap jasa perjuangan mereka

21.GPMS akan memperkasa modul dan melahirkan penceramah yang mahir dalam motivasi yang berfokus kepada 6 aspek iaitu: (i) Motivasi dan Teknik Belajar berkesan, (ii) Motivasi Kepimpinan, (iii) Motivasi dan Petua Menghadapi Peperiksaan (iv) Motivasi Sukan (v) Motivasi Keusahawanan. (vi) Motivasi Guru dan Ibu-Bapa

22.Menerbitkan pelbagai buku yang berkaitan pendidikan (10 buah buku sebagai penanda aras).

23.GPMS menggalakkan pemimpin-pemimpinnya menggembangkan bakat kepimpinan di dalam Majlis Belia Daerah / Kawasan, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Malaysia. Manakala, GPMS di semua IPT digalakkan untuk menyertai Pilihanraya Kampus masing-masing untuk membuktikan keberkesanan Sistem Latihan Perkaderan dan Kepimpinan GPMS.

24.Menonjolkan ikon Pelajar Melayu sebagai model kehebatan yang boleh dicontohi dengan kerjasama pelbagai agensi terutamanya dengan Program Permata Pintar.

25.GPMS akan membantu pelajar yang telah tamat peperiksaan utama di sekolah untuk melanjutkan Pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dengan kaedah dan strategi yang tersendiri

Sumber-Shahfaliq (AMT GPMS)